DARI luar, rumah dua tingkat yang mempunyai pagar berwarna hijau di Jalan SS2/53, Petaling Jaya, Selangor kelihatan sama dengan rumah-rumah teres lain. Dengan jarum jam menunjukkan tepat pada pukul 12 tengah hari, cuaca di luar kejiranan Petaling Jaya itu sangat terasa bahangnya kerana terik matahari.
Namun, sebaik kaki menginjak lantai rumah berwarna hijau itu suasana nyaman dapat dirasa, ditambah pula dengan putaran kipas siling menjadikan suasana sungguh menyegarkan.
Walaupun udara itu tidaklah terlalu sejuk seperti menggunakan pendingin hawa, namun ia sudah cukup untuk memberikan keselesaan kepada isi rumah.
Rumah itu sebenarnya ialah ibu pejabat Pusat Untuk Alam Sekitar, Teknologi Dan Pembangunan Malaysia (Cetdem) yang juga sebuah rumah contoh demonstrasi penyejukan.
Pengubahsuaiannya mula dilakukan pada bulan Mac 2004 selama empat tahun dan siap sepenuhnya pada Februari 2007.
Ia dibiayai sepenuhnya oleh Persatuan Pembangunan Antarabangsa Danish menggunakan dana sebanyak RM1 juta dengan kos pengubahsuaian sahaja menelan RM40,200.
Kata Pengarah Eksekutif Cetdem, Anthony Tan Kee Huat, ketika itu kosnya sangat mahal terutama untuk bahan penebat.
Bagaimanapun, teknologi semakin berkembang seiring dengan perjalanan masa menjadikan bahan-bahan berteknologi yang lama menjadi semakin murah.
Bumbung perangkap haba
Pengubahsuaian terbesar dilakukan pada bahagian bumbung yang diletakkan bahan penebat. Menurut Anthony, bumbung atap genting memerangkap haba dan mampu menyimpannya dalam masa yang lama.
Di antara atap genting dan penebat, terdapat sela yang menjadi laluan udara panas rumah seterusnya keluar tanpa terperangkap dalam kediaman.
Secara saintifik, udara panas mempunyai ketumpatan yang kurang berbanding udara sekeliling dan membolehkan ia naik ke atas.
Penebat yang dipasang pula membolehkan udara sejuk terperangkap dalam rumah sekali gus dapat mengekalkan suhu pada nilai yang tetap.
Penebat berjenama Rockwool itu berwarna kekuningan dan diperbuat daripada batu-batuan gunung berapi. Ia amat sesuai menjadi penebat suhu pada atap genting yang mampu mencecah suhu 40 darjah celsius.
Rekaan rumah biasa yang digunakan sekarang menyebabkan udara panas terperangkap di dalam dan masalah semakin ketara terutama kediaman jenis kondominium. Ia berlaku kerana tiada laluan udara panas untuk keluar.
Secara purata, suhu rumah akan turun dalam lingkungan tiga darjah celsius dan penurunan menjadi lebih banyak jika dibandingkan dengan suhu luar.
Ketika ditemui, Anthony menunjukkan bacaan suhu dalam rumah yang diukur setiap hari adalah pada 27 darjah celsius ketika jam mula menunjukkan pukul 1 petang.
“Penghuni rumah akan mempunyai kecenderungan memasang alat pendingin hawa apabila suhu dalam rumah melebihi 30 darjah celsius. Jadi apabila suhu berada sekitar 27 darjah celsius, ia sudah memberi keselesaan kepada penghuni rumah,” terang lelaki yang menetap di Subang Jaya itu.
Apabila menggunakan alat penyejukan seperti pendingin hawa, penggunaan tenaga elektrik meningkat kerana ia memakan tenaga elektrik hampir 34 peratus daripada keseluruhan penggunaan dalam sehari.
Selain itu, kedudukan rumah juga memainkan peranan penting sama ada menghadap matahari terbenam atau terbit, kata Anthony.
Suhu udara matahari terbit lebih rendah berbanding matahari terbenam. Jadi, rumah yang terbaik adalah menghadap matahari terbit.
Di hadapan rumah dua tingkat itu terutamanya pada bahagian tingkap terdapat struktur penahan matahari. Ia diperbuat daripada aluminium dan direka secara condong. Kecondongan plat dapat memantul cahaya matahari supaya tidak terus sampai ke dalam rumah.
Struktur penahan matahari dipasang pada jarak tertentu supaya cahaya yang sampai hanya pantulan yang terhasil daripada penahan itu. Pantulan itu kurang silau dan cahaya serta suhunya agak rendah berbanding secara terus.
“Bahan-bahan lain yang lebih murah seperti buluh dan kayu juga boleh digunakan untuk dijadikan sebagai penahan matahari,” terang Anthony kepada Kosmo!
Jimatkan tenaga
Jika terdapat ruang tanah di hadapan rumah, pokok-pokok renek sesuai ditanam bagi memastikan udara yang masuk ke rumah lebih dingin kerana ia melakukan proses fotosintesis.
Di halaman rumah bernombor 17 itu, sayur-sayuran yang ditanam secara organik menghiasi laman sekali gus dapat menjimatkan perbelanjaan rumah.
Menambahkan lagi teknologi tinggi pada rumah itu, bahagian bumbung rumah dipasang enam keping plat solar fotovoltan (PV) yang dapat menjana bekalan elektrik 2,000 watt sehari.
Menggunakan inverter (penyongsang), bekalan elektrik yang dijana dihantar ke Tenaga Nasional Berhad (TNB). Pihak TNB mempunyai skim Fit In Tarif (FIT) yang dapat menjimatkan bekalan elektrik dengan keuntungan RM1 bagi setiap 1,000 watt jam.
Rumah yang dingin, hanya perlu menggunakan kipas tanpa pemasangan ala penyejukan tambahan seperti pendingin hawa. Kipas hanya menggunakan 70 watt jam berbanding pendingin hawa yang memakan tenaga sebanyak 750 watt jam.
Mungkin terdapat individu di luar sana yang mengatakan bahawa sudah cukup pintu dan tingkap ditutup dengan langsir, tetapi Anthony berpendapat sebaliknya.
Ruang antara kain langsir dan tingkap masih lagi memerangkap suhu panas. Apabila kipas dihidupkan, putarannya menyebabkan kain langsir bergerak sekali gus udara panas memasuki ruang rumah.
Pemindahan haba berlaku dan kipas sahaja tidak mungkin mencukupi dalam menyejukkan rumah. Mengikut data yang diberikan Cetdem, penggunaan elektrik untuk menyejukkan rumah memakan bekalan elektrik tertinggi iaitu sebanyak 34 peratus berbanding peti sejuk yang dihidupkan setiap masa iaitu 23 peratus.
Selain itu, rumah demonstrasi itu turut mengamalkan tuaian air hujan bagi penggunaan mencuci rumah dan menyiram tanaman.
Sebuah tangki mampu menampung air sebanyak 900 liter atau dua meter kubik jadi, air yang disampaikan oleh pihak Syabas boleh digunakan untuk tujuan minuman sahaja.
Lampu kalimantang sudah tidak digunakan lagi di rumah tersebut yang diganti dengan mentol jimat tenaga dengan memberikan kecerahan yang sama, tetapi lebih tahan lama.
Selain itu, Anthony menasihati orang ramai supaya menaikkan sedikit suhu pendingin hawa kerana setiap satu darjah celsius dinaikkan, penggunaan elektrik bagi pemampat akan berkurangan sebanyak 10 peratus.
Semua perubahan yang kelihatan ringkas dan leceh itu menjadikan rumah dua tingkat di Petaling Jaya itu sebuah kediaman yang memiliki kecekapan tenaga.
Kredit Kosmo
No comments:
Post a Comment