Leena menunjukkan laporan polis dan surat kepada Pejabat Buruh terhadap tindakan yang dilakukan terhadapnya.
BATU PAHAT – “Hanya kerana dituduh mencuri, saya diarahkan menanggalkan pakaian saya.
“Ketika itu saya hanya menurut kerana saya baru empat hari bekerja
dan tidak tahu prosedur alam pekerjaan ini,” kata Leena, 24, (bukan nama
sebenar) yang mendakwa dia menjadi mangsa tindakan melampau seorang
penyelia ketika ditemui
Sinar Harian, semalam.
Leena berkata, pada mulanya dia menganggap perkara itu adalah perkara biasa, sebelum meminta pandangan keluarganya.Menurutnya, keluarga juga menyatakan tindakan melampau itu melibatkan
maruah, selain bimbangkan kemungkinan berlaku sesuatu perkara yang
tidak diingini di kemudian hari.
“Setelah mendapat nasihat dan mengetahui tindakan yang dilakukan oleh
penyelia saya ini salah, saya terus membuat laporan polis berkaitan
dengan kejadian berkenaan.
“Saya juga membuat aduan di Pejabat Buruh, kerana mahu tindakan
tersebut diambil perhatian selain sebagai pengajaran kepada ketua serta
majikan agar tidak melakukan sesuatu perkara dengan sesuka hati,”
katanya.
Dia yang bekerja di sebuah farmasi di daerah ini berkata, kejadian
berkenaan berlaku pada 16 Julai lalu, kira-kira jam 4.30 petang, ketika
pertukaran syif pekerja.
“Pada mulanya, saya diarah untuk mengira hasil jualan saya pada hari
terbabit dan setelah mengiranya beberapa kali, saya dapati hasil
berkenaan ialah RM406.
“Bagaimanapun, setelah penyelia saya mengiranya, wang hasil jualan
itu telah didapati kurang sebanyak RM50 dan kemudiannya saya dituduh
mengambil wang terbabit,” katanya.
Katanya, tidak berpuas hati dengan perkara tersebut, Leena diarahkan
untuk menjalani pemeriksaan badan, tetapi wang yang didapati kurang itu
tidak ditemui.
“Mereka seterusnya mengarahkan saya menanggalkan pakaian untuk pemeriksaan lanjut.
“Setelah mengetahui tindakan yang dilakukan ini salah, saya
sememangnya cukup tidak berpuas hati kerana ia melibatkan maruah serta
saya mahu tindakan melampau ini dikenakan tindakan,” katanya.
Katanya, bagaimanapun akhirnya setelah pemeriksaan terhadap jualan
secara terperinci dilakukan, didapati akaun berkenaan mempunyai
transaksi kad kredit sebanyak RM78.90
Sementara itu, ayah mangsa yang mahu dikenali sebagai Rahman, 78,
berkata, dia terus mengarahkan anaknya membuat surat aduan peletakan
jawatan serta-merta kerana bimbangkan perkara yang sama akan berulang
kembali.
“Saya dan keluarga juga akan mengambil tindakan undang-undang kepada
penyelia terbabit serta majikan kerana ia sesuatu perkara yang memalukan
dan melibatkan maruah seorang wanita, selain pihak majikan lebih telus
menjaga pekerja mereka.
“Saya juga bimbangkan kecanggihan teknologi akan mengaibkan anak
saya, mungkin adanya rakaman situasi berkenaan dilakukan seterusnya
disebarkan, walaupun ke semua mereka yang terlibat menafikannya,”
katanya.
Sinar